Zakat Emas & Perak
Allah SWT telah mengurniakan dua logam yang sangat bernilai iaitu emas dan perak. Ia banyak memberikan manfaat kepada manusia yang mana manusia boleh jadikannya sebagai tukaran wang, perhiasaan, pelaburan, perubatan, perindustrian, sukan dan sebagainya. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam dunia dan akhirat. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan.
Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab (kadar kuantiti) dan telah cukup haul setahun (tempoh).
DALIL WAJIB ZAKAT
Firman Allah s.w.t:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu”
(Surah At-Taubah: 34-35)
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis riwayat Abu Hurairah
KAEDAH KIRAAN ZAKAT EMAS & PERAK
Zakat emas dikira dalam dua keadaan iaitu:
1. Zakat emas yang dipakai (dijadikan perhiasan badan)
2. Zakat emas yang disimpan. (tidak dipakai)
Emas Perhiasan
Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata. Zakat emas perhiasan ini mengambil kira kadar uruf emas kepada nilai pemakaian perhiasan disesebuah termpat tersebut. Jika kadar pemakaian itu sudah mencapai atau melebihi kadar uruf, maka wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Perak ialah sebanyak 500 gram. Kadar uruf boleh dirujuk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing.
Contoh:
(Timbangan emas yang dipakai - berat uruf ) x harga semasa x 2.5%
(650g - 500g) x RM185 (kita andaikan harga semasa emas RM185/g) x 2.5%= RM693.75
Emas Yang Disimpan
Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram.
Contoh:Perak
Timbangan emas simpan yang disimpan selama setahun x harga semasa x 2.5%
90 gram x RM185 x 2.5% = RM416.25
Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih.
Contoh:
Timbangan berat perak x harga semasa perak/gram x 2.5%
800 g perak x RM0.90(segram) x 2.5% = RM18
No comments:
Post a Comment